.-.-.-.-SEJARAH PENUBUHAN-.-.-.-.
Penubuhan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa mengharungi pelbagai rintangan dan pengalaman pahit tetapi dengan wujudnya ketabahan hati, pandangan jauh dalam memajukan anak-anak maka penubuhan sekolah ini menjadi kenyataan.
Sejarah Sekolah Chan Wa dibahagikan 5 peringkat iaitu peringkat penubuhan awal (1918- 1941), perkembangan selepas Perang Dunia II (1946-1957), perkembagan selepas kemerdekaan dari tahun 1957-1989, perkembangan dari tahun 1990-1999 dan perkembangan dari tahun 2000- 2007.
Penubuhan sekolah ini bermula dengan usaha membina sekolah rendah dahulu dan diikuti kemudiannya sekolah menengah. Nama sekolah Chan Wa berasal dari perkataan Chan Wa yang bermaksud “Hiduplah masyarakat Cina, kembanglah masyarakat Cina dan hidup dengan penuh semangat yang membara”.
Penubuhan Di Peringkat Awal (1918-1941)
Pada 21 Februari 1918 sekolah ini ditubuhkan dengan usaha pelopor-pelopor yang terdiri daripada En. Ng Shee Sheak, En. Wong Yik Tong, En. Teng Choo Shik, En. Ting Lee Tong, En. Chan Wei Chuan, En. Wong Tuan, En. Lee Yi, En. Liew Chee Poh, En. Tham Foo Nam, En. Tham Peng Chee, En. Tham Loon, En. Tham Chong Choo, En. Wong Keng Tong dan En. Chu Kak Mun.
Persatuan Kwong Shiu telah menderma RM500.00 sebagai belanja penubuhan buat permulaan. Sebuah kedai yang disewa di Jalan Kapitan Jalan Yeong (Jalan Temiang) dijadikan tempat belajar. Pelajaran percuma diberi kepada 30 orang murid oleh 2 orang guru di bawah pengelolaan guru besar yang pertama En. Chong San Tam.
Pertambahan bilangan murid-murid telah mendorong Persatuan Kwong Shiu menderma sebuah bangunan untuk dijadikan sekolah di 55, Jalan Murray. Pada tahun 1930, sebuah lagi bangunan di hadapan Hospital Wah Chai disewa dan digabungkan dengan Sekolah Koon Wah untuk menubuhkan sekolah rendah Chan Wa, Seremban.
Pada tahun 1934, dua buah bangunan di Jalan Campbell (Jalan Dr. Samuel) disewa dan kelas tingkatan satu bermula. Pada tahun 1941, Persekutuan Tanah Melayu diserang oleh Jepun. Sekolah ini terpaksa dibubarkan dan segala perkakas sekolah turut dibinasakan.
Perkembangan Selepas Perang Dunia II (1941-1957)
Pada tahun 1946, usaha membina semula sekolah ini diteruskan oleh Lembaga Pengelola Sekolah dengan mendapatkan pinjaman untuk membeli sebidang tanah di Jalan Temiang. Jawatankuasa Pembangunan Sekolah ditubuhkan pada tahun 1948 untuk menguruskan projek ini. Sebuah bilik darjah didirikan di Temiang pada tahun 1949 dan 3 kelas Menengah Rendah 1 diadakan semula pada tahun 1952. Walaupun begitu masih tidak dapat menampung bilangan pelajar yang kian bertambah. 7 buah bilik darjah dibina lagi dan persekolahan hingga ke peringkat Menengah Rendah diadakan.
Pada tahun 1954, En. Lee Siew Hoo selaku Pengerusi Lembaga Pengelola menyeru masyarakat Cina membantu menubuhkan Sekolah Menengah Atas. Seruan beliau mendapat sambutan yang menggalakkan dan ekoran daripada itu sebanyak RM200,000.00 telah dipungut. Ini memudahkan pembinaan bangunan 3 tingkat yang terdiri daripada 14 buah bilik darjah, 2 buah pejabat. sebuah makmal, sebuah perpustakaan dan sebuah bilik sains rumahtangga. Pada tahun 1955. 2 kelas Menengah Atas dibuka.
Sekolah ini mengalami masalah kewangan apabila penyumbang utama sekolah ini En. Lee Siew Hoo meninggal dunia pada tahun 1956. Akhirnya pada tahun 1957, Lembaga pengurusan sekolah ini bersetuju menerima bantuan penuh dari kerajaan dan sekolah ini menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan. Mulai dari tarikh itu, sekolah rendah dan sekolah menengah ditadbir berasingan. Sekolah rendah dipindahkan pada bulan Ogos 1966 apabila bangunan sekolah rendah siap dibina.
Perkembangan Selepas Kemerdekaan (1957-1989)
Sejajar dengan dasar pendidikan, beberapa perubahan telah dilaksanakan oleh sekolah antaranya ialah pelajar mendapat pendidikan 4 tahun untuk pelajaran Menengah Rendah dan 2 tahun untuk Menengah Atas. Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Semasa En. Mok Sum menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola dan En Yoong Ching Sze selaku guru besar, beberapa projek pungutan derma dilancarkan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan sekolah Antaranya mementaskan drama “Keluarga Bahagia” pada 27 & 28 Julai 1967 untuk Tabung Murid-Murid Miskin Chan Wa. Pestaria, Malam Kebudayaan dan Pameran diadakan dalam usaha mengumpul wang untuk perpustakaan dan bilik makmal pada tahun 1968. Sebanyak RM50,000.00 telah dikumpulkan dan RM50,000.00 lagi telah disumbangkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Drama “Kerana Martabat” dipentaskan pada tahun 1970 dan hasil kutipan tersebut digunakan untuk membeli alat-alat dan kemudahan blok bangunan baru. Pada tahun 1968, kelas aliran sains telah dimulakan. Blok perpustakaan dan makmal (Bangunan Kwong Shiu) siap dibina pada tahun 1969 dan dibuka rasmi oleh YB. Tun Tan Siew Sin Menteri Kewangan Malaysia.
Pada bulan Mac 1971, Tabung Murid-Murid Miskin diadakan untuk membantu pelajar-pelajar miskin membiayai perbelanjaan persekolahan mereka. Satu walkathon dirancangkan untuk tujuan ini dan rancangan ini merupakan cara memungut derma yang ulung kali di Malaysia yang kemudiannya dituruti oleh sekolah dan badan-badan kebajikan lain untuk memungut derma di Malaysia.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditubuhkan pada 11 November 1973 untuk merapatkan perhubungan di antara ibu bapa dengan pihak sekolah. Kelas aliran sains, kelas menaip dan mata pelajaran perdagangan diperkenalkan. Untuk mematuhi dasar pelajaran negara kita, tingkatan peralihan diajar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Untuk menampung bilangan pelajar yang kian bertambah, Lembaga Pengelola Sekolah Chan Wa berusaha mengutip derma daripada masyarakat melalui Loteri Pembangunan Chan Wa. Sebanyak RM100,000.00 telah diperolehi dan telah membolehkan projek bangunan baru bertingkat 3 (26 bilik darjah) dilancarkan pada tahun 1979 dan pembukaan rasmi oleh Timbalan Menteri Pendidikan YB. Dato’ Chan Siang Sun pada 20 Mac 1982.
Pada tahun 1982, Tabung Pembangunan telah ditubuhkan dan sekolah bercadang untuk membina sebuah Dewan Serbaguna. Hanya pada tahun 1987 cadangan ini dapat dilaksanakan. YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato Hj. Abdul Samad telah merasmikan upacara meletakkan batu asas pembinaan dewan tersebut. Perbelanjaan pembinaan Dewan Serbaguna ini diperolehi melalui program “Larian Chan Wa” dan “Malam Muzika” yang diadakan pada tahun 1989 dengan mendapat sokongan daripada PIBG, guru-guru, pelajar-pelajar dan orang ramai. Pada 22 Julai 1990, YB Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik, Menteri Pengangkutan telah merasmikan upacara pembukaan dewan ini.
Perkembangan Tahun 1990an Dari Tahun 1990-1999
Pada tahun 1991, permohonan bagi sebidang tanah di belakang sekolah seluas 0.7 hektar untuk padang sekolah telah diluluskan. Pada tahun 1992, YB. En. Yim Chee Chong memperuntukkan RM10,000.00 kepada pihak sekolah untuk meratakan kawasan lapang di belakang bangunan sekolah untuk dijadikan sebuah padang yang mengandungi balapan 200 meter. Pada bulan Februari 1993, buat kali pertama dalam sejarah, sekolah kita berjaya menganjurkan sukan tahunan sekolah di padang yang berkenaan.
Beberapa pengubahsuaian di sekitar sekolah turut dilakukan pada tahun 1992. Sebanyak RM20,000.00 telah dibelanjakan untuk pengubahsuaian dewan sekolah. Bahagian depan peras di dalam dewan sekolah diperluaskan. Sebahagian daripada kantin sekolah dijadikan bilik rens: la; guru. Sebelah dalam binding pagar belakang sekolah dibina 2 bilik salin pakaian bagi pelajar yang menyertai kelas-kelas PJK. Bumbung bilik salin pakaian dilunjurkan ke kawasan padang sekolah untuk dijadikan satu pavilion dalam padang sekolah. Pengubahsuaian bilik darjah di sebelah bilik guru untuk dijadikan bilik guru kanan bidang juga dijalankan.
Pada tahun 1993, Lembaga Pengelola Sekolah telah memutuskan untuk membina bangunan di tingkat yang mengandungi 16 bilik darjah kerana bilangan pelajar semakin meningkat. Pada 5.1.1994, upacara perletakkan batu asas bagi bangunan sekolah baru bertingkat 4 dijalankan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri dan YAB Dato1 Seri Utama, Tan Sri Hj. Mohd Isa bin. Dato Hj. Abdul Samad, Menteri Besar NSDK. Timbalan Perdana Menteri telah menyumbangkan sebanyak RM150,000.00 untuk pembinaan bangunan baru ini. Pada 12.4.1994, Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik, Menteri Pengangkutan telah menjalankan upacara memecah tanah bangunan baru empat tingkat ini. Pada 26.10.1994 satu jamuan raksaksa diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban bertujuan memungut derma pembinaan bangunan blok baru. Pada hujung bulan Disember 1994, pihak MPS meluluskan pelan blok tersebut. Pada bulan Mei 1996 blok baru siap dibina dengan perbelanjaan sebanyak RM950,000.00. Pada bulan Jun 1996, bangunan baru bertingkat empat telah mula digunakan yang mengandungi bilik guru, bilik darjah, makmal sains, bilik kemahiran hidup, bilik komputer, mini dewan, bilik ketua bidang.
Satu peristiwa penting tentang perkembangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa ialah cadangan pembukaan sekolah cawangan. Pembukaan sekolah cawangan Sekolah Chan Wa mendapat perhatian dan sokongan daripada parti MCA, persatuan-persatuan masyarakat Cina dan masyarakat setempat. Pada tahun 1991, PIBG, Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan Bekas Pelajar Chan Wa mencadangkan membuka sekolah cawangan Chan Wa kerana keadaan tempat di sekolah sekarang semakin sesat dengan bilangan pelajar yang semakin meningkat. Pada bulan Mac 1992, tiga badan ini menghantar surat cadangan kepada Perdana Menteri melalui Dato’ Seri Dr. Ling Liong Sik Menteri Pengangkutan. Pada bulan Julai 1992 dengan bantuan Dato Wong See Wah Pengerusi MCA N.S., pihak sekolah mengemukakan permohonan pembinaan cawangan sekolah Chan Wa secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan. Dato Hon Choon Kim ahli Parlimen Seremban dan juga bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa telah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pembinaan cawangan sekolah ini. Pada 12 April 1995, Dato Seri Dr. Ling Liong Sik mengumumkan bahawa Perdana Menteri telah meluluskan pembinaan sekolah cawangan. Pada tahun 1996, kerajaan Negeri Sembilan meluluskan permohonan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa menggunakan tanah seluas 8 ekar di Ulu Temiang sebagai lokasi pembinaan sekolah cawangan Chan Wa. Perbelanjaan yang amat besar diperlukan iaitu dijangka memerlukan RM6 juta ringgit. Sekolah ini dijangka mula dibina pada tahun 1998 dan dijangka siap pada tahun 1999. Beberapa aktiviti untuk memungut derma telah dilakukan oleh pihak sekolah, parti MCA, persatuan masyarakat Cina dan sumbangan serta sokongan orang perserorangan masyarakat Cina serta masyarakat setempat untuk menjayakan pembinaan cawangan sekolah Chan Wa. Dengan pembinaan sekolah cawangan ini, bermakna Sekolah Menengah Chan Wa merupakan sekolah yang pertama di Negeri Sembilan yang mempunyai cawangan. Namun, apa yang dirancangkan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Ini adalah kerana pada penghujung tahun 1997, negara kita mulai mengalami masalah kegawatan ekonomi. Tambahan pula, projek pembinaan Lebuh raya Kajang-Seremban melibatkan kawasan pembinaan sekolah cawangan yang dirancangkan dan perlu menyelesaikan masalah perpindahan beberapa keluarga yang tinggal di kawasan ini. Oleh itu, sepanjang tahun 1998 dan 1999, ahli jawantankuasa pembinaan cawangan sekolah berusaha menangani masalah ini. Disebabkan pelan yang asal terjejas kerana pembinaan lebuh raya maka satu pelan baru dilukiskan semula pada awal tahun 1999. Pada 15.9.1999 YB Dato’ Wong See Wah Timbalan Menteri Kewangan telah menjalankan upacara memacakkan papan alamat sekolah di tapak pembinaan cawangan SMJK Chan Wa di Ulu Temiang. Pada 1.11.1999, YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato Hj. Abdul Samad, Menteri Besar Negeri Sembilan telah menjalankan upacara pecah tanah di tapak tersebut. Pada 27.11.1999, penyerahan sijil tanah dan pelan sekolah cawangan oleh syarikat pemaju perumahan yang diwakili oleh Dato Lee Yuen Fong kepada Pengerusi PIBG Encik Kow Ah Loy telah dijalankan.
Sepanjang tahun 1994 sekolah kita juga telah melakukan penyelenggaraan bangunan sekolah. Pada bulan Ogos 1994, Jabatan Kerja Raya memberi peruntukan khas sebanyak RM70,000.00 untuk tujuan ini. Lantai dan dinding di kantin sekolah telah dinaikkan taraf dan menambahkan kipas dalam bilik darjah di tingkat satu, blok bilik darjah bertingkat 3. Pada bulan September 1994, YB Yim Chee Chong Ahli Parlimen kawasan Seremban meluluskan peruntukan untuk projek penurapan kawasan lapang yang berada di bahagian depan sekolah untuk dijadikan tempat meletak kereta. Syarikat En. Choo Fook Kim dipertanggungjawabkan melaksanakan tugas ini dan menyelesaikan kerja tersebut pada pertengahan bulan November 1994. Menggariskan petak meletak kereta turut dijalankan dengan bantuan daripada En. Soh Li.
Pada tahun 1995, oleh sebab kesesakan lalu lintas di pintu masuk sekolah, satu pintu masuk ke sekolah di sebelah kanan depan sekolah telah dibina dengan merobohkan tembok tersebut. Satu pintu kecil dan lorong pejalan kaki turut dibina di sebelah kiri depan sekolah. Perbelanjaan sebanyak lebih kurang RM10,640.00 dibiayai oleh PIBG. PIBG turut menggunakan perbelanjaan sebanyak RM17,280.00 untuk membina semula siling dewan sekolah pada hujung tahun 1996.
Pada tahun 1996, PIBG mencadangkan tanah kerajaan di belakang sekolah digunakan untuk perkembangan pembinaan sekolah. Satu jawatankuasa ditubuhkan dengan diketuai oleh ADUN YB Dato Lee Yuen Fong. Pada Januari 1997, Dato Lee Yuen Fong mengumumkan kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan 2.7 ekar tanah di belakang sekolah untuk perkembangan pembinaan sekolah. Beliau mewakili kerajaan Negeri Sembilan telah menyerahkan surat kelulusan tanah kepada pihak sekolah.
Pada bulan Ogos 1996, bangunan bilik guru lama dirobohkan dan gelanggang bola keranjang serta sistem perparitan telah dibina semula dengan menggunakan perbelanjaan sebanyak lebih kurang RM70,000.00.
Pada 2 September 1997, bangunan baru empat tingkat telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri UtamaTan Sri Mohd. Isa bin Dato Hj. Abdul Samad, Menteri Besar Negari Sembilan Darul Khusus. Pada malam 2 September 1997, satu jamuan raksasa telah diadakan untuk mengisi Tabung Pembinaan Sekolah Cawangan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.
Pada 20 Jun 1998, Pasukan Pancaragam telah mengadakan satu konsert di Dewan Majlis Perbandaran Seremban. Tujuan konsert ini adalah untuk mengisi Tabung Projek Perkembangan Sekolah. Jumlah derma yang berjaya dipungut adalah sebanyak RM200,000.00.
Pada 2 Oktober 1998, sempena ulangtahun ke-80 Sekolah Chan Wa, Lembaga Pengelola Sekolah dan PIBG Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa serta Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chan Wa telah bersama-sama mengadakan majlis menyambut ulang tahun ke-80 dan Hari Guru di Dewan Majlis Perbandaran Seremban.
Pada bulan Januari 1999, aktiviti menanam rumput di padang sekolah telah dijalankan oleh pelajar-pelajar. Seterusnya pada bulan April, Lembaga Pengelola Sekolah telah berusaha menanam rumput dan menaburkan batu-batan di padang sekolah. Tujuannya adalah untuk menyediakan lebih banyak kawasan dan ruangan untuk pelajar menjalankan aktiviti serta tempat untuk meletakkan kereta.
Pada 30.1.1999, Kumpulan 24 Genderang telah ditubuhkan dengan secara rasmi. Sebenarnya sebelum penubuhan Kumpulan 24 Genderang ini, pada 25.1.1992 atas usaha guru penasihat dan pelajar-pelajar sekolah ini, Kumpulan Genderang 4 musim telah ditubuhkan. Kumpulan ini sering mengadakan persembahan atas jemputan dari luar atau dalam sekolah.
Pada bulan April 1999, Laman Web sekolah telah dimasukkan ke Internet apabila Kelab Komputer sekolah telah berjaya mencipta Laman Web Sekolah di http://members.xoom.com/chanwa
Antara bulan April dan Mei 1999, Jabatan Pengairan dan Saliran Seremban telah membina parit konkrit di depan pintu sekolah. Pihak Lembaga Pengelola Sekolah mengambil kesempatan ini membina semula pagar yang berbentuk tembok di depan sekolah. Satu pondok pengawal keselamatan turut dibina di depan pintu masuk sekolah.
Seterusnya, mulai 1 Julai 1999, sistem trafik baru telah dimulakan. Kereta ibu bapa dilarang memasuki kawasan sekolah kecuali hari hujan. Tujuan perlaksanaan sistem trafik baru ini adalah untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di sekitar kawasan sekolah dan menjamin keselamatan reajar semasa masuk dan pulang dari sekolah. Demi memastikan keselamatan di kawasan sekolah, pihak PIBG telah mengupah 3 pengawal keselamatan untuk mengawal di pintu keluar masuk kawasan sekolah. Atas sumbangan PIBG ini, buat pertama kali dalam sejarah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa mempunyai pengawal keselamatan pada waktu siang dan malam.
Pada pertengahan tahun 1999, Lembaga Pengelola Sekolah juga mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM11,000.00 untuk membina 2 buah ‘covered walkway’ di hadapan dan belakang sekolah supaya pelajar-pelajar tidak basah pada hari hujan sewaktu balik atau datang ke sekolah.
Perkembangan Dari Tahun 2000 – 2007
Pada bulan Jun 2000, kerajaan pusat telah memberi bantuan modal sebanyak RM50,000.00 untuk penyelanggaraan bangunan sekolah. Pihak sekolah telah membina tandas pelajar lelaki yang baru. Tandas lelaki yang lama diubahsuai menjadi makmal komputer, tandas perempuan yang lama diubahsuai menjadi bengkel paip untuk subjek Kemahiran Hidup. Koperasi sekolah juga telah dipindah dari perpustakaan ke tingkat bawah bangunan blok C. Pada masa yang sama, Lembaga Pengelola Sekolah telah membina pagar besi dan menutup longkang di sebelah kanan pintu masuk di bahagian depan luar sekolah supaya menjadi lorong pejalan kaki bagi pelajar.
Pada 14.7.2000, konsert pancaragam telah diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban untuk mengisi Tabung Projek Perkembangan Sekolah. Konsert ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Lee Yuen Fong ADUN kawasan Temiang dan berjaya mengutip derma sebanyak RM105,887.00.
Pada bulan April 2001, pihak sekolah telah membina bengkel kayu Kemahiran Hidup dengan perbelanjaan sebanyak lebih kurang RM6000.00. Pada bulan Mei 2001, pihak sekolah telah membina bilik gimnasium di ‘basement’ kantin sekolah dengan anggaran perbelanjaan lebih kurang RM6000.00. Pada 23.5.2001, Lembaga Pengelola Sekolah telah menggunakan RM15,000.00 untuk membina bumbung yang lebih luas bersebelahan kantin sekolah untuk tujuan aktiviti pelajar dan pada 6.6.2001 membina ‘covered walkway1 yang menghubungkan bangunan blok C ke kantin sekolah.
Pada awal bulan Januari 2002, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 untuk mengecat bahagian luar bangunan blok B (bahagian luar blok pejabat) dan blok F (bangunan baru empat tingkat). Pada bulan Julai 2002, semua pintu bilik makmal dipasang pintu besi (grill) demi keselamatan untuk menyimpan alat LCD yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains mulai tahun 2003. Pada bulan Ogos 2002, semua tingkat di blok F (bangunan 4 tingkat) dan dan blok C (bangunan 3 tingkat) dipasang pintu besi. Sebanyak RM12,000 telah digunakan untuk tujuan ini. Pada bulan Disember 2002, Encik Ho Chee Peng telah menderma sebanyak RM20,000.00 untuk memasang kipas dan membaikpulih dewan sekolah. Dari bulan Disember 2002 hingga bulan Januari 2003 sebanyak RM 50,000.00 telah dibelanjakan untuk kerja-kerja pengubahsuaian pejabat sekolah. Lantai telah dinaikkan taraf, ruang pejabat diubahsuai dengan menyediakan dua bilik iaitu untuk penyelia petang dan guru penolong kanan ko-ko serta satu bilik mesyuarat dan satu bilik cetakan. Pendingin hawa turut dipasang di pejabat.
Pada 27.6.2002 – 28.6.2002, pancaragam sekolah telah mengadakan konsert di Dewan Majlis Perbandaran Seremban untuk mengumpul tabung pembelian alat-alat muzik. Pada 6.10.2002 pancaragam sekolah mengambil bahagian dalam pertandingan muzik jazz yang dianjurkan oleh Philips Schools di Kuala Lumpur. Sebanyak 22 buah sekolah dari seluruh Malaysia mengambil bahagian. Pancaragam sekolah kita menjadi johan dalam bahagian “Big Band” dengan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000.00 dan alat-alat muzik bernilai RM40.000.
Pada 19.2.2003 ketua Pembangunan Kemanusiaan JPNS, Tuan Haji Sahidan bin Mokhtar telah menyampaikan Sijil Kecemerlangan PMR 2002 kepada pihak sekolah dalam satu perhimpunan khas di sekolah kerana pencapaian cemerlang dalam peperiksaan PMR 2002. Beliau kemudian menyampaikan taklimat kepada guru-guru. Chan Wa. Pada 26 – 28.2.2002, lawatan Nazir dari JPNS ke sekolah. Sekolah Chan Wa dicalonkan sebagai “Sekolah Harapan Negara” oleh JPNS untuk mewakili Negeri Sembilan bertanding di peringkat kebangsaan untuk kategori sekolah harian bandar. Pencalonan ini adalah berdasarkan pencapaian cemerlang dalam kurikulum dan ko-kurikulum serta perkembangan sekolah. Pada 27.3.2002 rombongan nazir Persekutuan telah melawat sekolah untuk membuat penilaian.
Sementara itu, pada bulan Mei 2003, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk mengecat semula semua pintu kelas blok C, bahagian luar bangunan blok C dan blok D (perpustakaan).
Pada 17.4.2001, pihak sekolah berjaya membeli tanah seluas 2.69 ekar yang terletak di belakang sekolah dengan bayaran RM330,885.00 dari kerajaan negeri dan bumiputera. Dengan memilik geran tanah ini maka projek perkembangan sekolah boleh dimulakan. Jawatankuasa Perkembangan Sekolah kemudian berusaha menyelesaikan bayaran pampasan kepada penghuni rumah setinggan yang tinggal di kawasan ini. Masalah bayaran pampasan kepada penghuni rumah setinggan ini telah dapat diselesaikan pada 27.12.2001 atas usaha YB Dato Lee Yuen Fong apabila 19 buah rumah penghuni ini menandatangani persetujuan menerima RM5000.00 sebagai bayaran pampasan dari Lembaga Pengelola Sekolah dan akan berpindah dari tanah tersebut sebelum 30.4.2002. Sebanyak RM70,000 telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Pada bulan Mei 2002, aktiviti membersihkan kawasan tanah tersebut telah dilakukan. Pada bulan Disember 2002 hingga Februari 2003 sebanyak RM43,000.00 dibelanjakan untuk kerja-kerja mengorek, menimbus dan meratakan tanah. Pada bulan Mac 2003, kerja menanam rumput dan pembinaan pagar telah dilakukan. Dari bulan Mei hingga Jun 2003 proses pembinaan 2 gelanggang bola tampar, 3 gelanggang bola keranjang dan padang sekolah dijalankan. Pada 30.10.2003 majlis perasmian padang dan gelanggang sekolah telah disempurnakan oleh YB Dato Seri Ong Ka Ting Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Selain itu, Jawatankuasa Perkembangan Sekolah juga merancang memohon seekar tanah lagi untuk membina bangunan empat tingkat.
Pada 1.3.2004, Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina telah diadakan di gelanggang sekolah dan dirasmikan oleh Dato Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato Hj. Abdul Samad, Menteri Besar N.S. Pada malam tersebut sebanyak RM160,000 telah diperolehi untuk tabung pembinaan sekolah. Sepanjang tahun 2004 dan tahun 2005, tidak banyak penyelanggaraan dilakukan kerana aktiviti perkembangan bangunan sekolah lebih tertumpu di sekolah cawangan. Pada Ogos 2005, pihak Lembaga Pengelola Sekolah mula membina pagar berkonkrit di sekitar padang dan gelanggang sekolah serta membaiki sistem saluran air di padang.
Sepanjang tahun 2006, tiada banyak penyelanggaraan dilakukan di sekolah induk tetapi telah mencatat satu peristiwa bersejarah di sekolah dan negeri bahkan seluruh negara apabila mesyuarat agong PIBG tahun 2006 diadakan dua kali. Ini adalah kerana mesyuarat agong PIBG kali pertama yang diadakan pada 27.3.2006 dibatalkan oleh JPNS kerana terdapat individu yang bukan anggota PIBG terlibat dalam sesi pemilihan AJK PIBG. Maka dengan itu pada 3.5.2006 Mesyuarat Agong Tergempar PIBG diadakan dengan kehadiran wakil JPNS iaitu En. Abdul Aziz bin Ahmad Ketua Unit Perhubungan dan Pendaftaran Sekolah dan En. Lee Ping Chong Pengelola Sekolah-sekolah Cina sebagai pemerhati. Pemilihan AJK PIBG berjaya disempurnakan walaupun terdapat kekecohan semasa pemilihan jawatan Pengerusi PIBG kerana mempersoalkan cara pengundian, kekecohan ditamatkan apabila En Chan Kok Sun calon yang bertanding untuk jawatan Pengerusi bersama penyokongnya meninggalkan dewan. Akhirnya, En. Kow Ah Loy mendapat sokongan tanpa bertanding dipilih sebagai Pengerusi PIBG.
Pada tahun 7.11.2006, pihak PIBG telah siap membina sebuah kanopi di kawasan tokong Cina yang terletak bertentangan dengan sekolah untuk memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar kita yang sering menunggu bas di situ. Pihak PIBG turut mengemukakan cadangan kepada Majlis Perbandaran Seremban supaya membina sebuah perhentian bas di tepi tokong Cina tersebut. Selain itu, pihak sekolah juga turut melengkapkan kemudahan padang pada bulan Oktober – Disember 2006 dengan membina dua tempat lompat jauh, satu tempat lontar peluru dan satu tempat lempar cakera. Sekolah juga mencatat sejarah dari segi akademik pada tahun 2006 apabila keputusan PMR tahun 2005 mencatat rekod terbaik iaitu 74 pelajar mendapat 8A sementara SPM 2005 sebanyak 16 pelajar mendapat 12A. Saudari Lee Hui Qing disenaraikan oleh JPNS sebaga salah seorang daripada dua calon terbaik di Negeri Sembilan dan beliau juga merupakan salah seorang calon terbaik daripada 50 calon terbaik di peringkat kebangsaan.
Sementara itu, usaha pembinaan sekolah cawangan SMJK Chan Wa tergendala sepanjang tahun 1998 hingga 2000 kerana menghadapi masalah perpindahan penduduk setinggan. pembinaan lebuh raya Seremban-Kajang, projek meluruskan aliran sungai dan terpaksa meratakan kawasan di tapak pembinaan sekolah yang terletak di Ulu Temiang. Oleh sebab kesukaran ini, maka pada hujung tahun 2000 beberapa orang penderma menawarkan tapak baru untuk sekolah cawangan. Pada 17.12.2001 Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Cawangan telah melawat tapak yang ditawarkan oleh Syarikat Multi Vista yang terletak di Labu. Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Cawangan memutuskan untuk memindahkan tapak sekolah cawangan dari Ulu Temiang ke Labu kerana tapak itu sesuai dan tiada banyak masalah yang perlu dihadapi. Pada 20.1.2001 kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan perpindahan tapak sekolah cawangan tersebut. YB Dato Dr. Yeow Chai Thiam mewakili Kerajaan Negeri telah menyerahkan surat kelulusan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Encik Hooi Weng Cheong. Tanah yang didermakan oleh Syarikat Pemaju Perumahan Multi Vista adalah seluas 12 ekar termasuk padang awam. Pada 13.11.2001, kerajaan Negeri telah meluluskan permohonan Syarikat Multi Vista menderma tanah untuk pembinaan sekolah cawangan. Majlis penyerahan hak milik tanah telah diadakan di Dewan Sekolah SMJK Chan Wa pada 30.12.2001. YB Dato Dr. Yeow Chai Thiam mewakili Kerajaan Negeri menyerahkan sijil hak milik tanah kepada pemegang amanah harta Lembaga Pengelola Sekolah iaitu Encik Hooi Weng Cheong, Encik Yee Kai Ming dan Encik Kow Ah Loy. Dengan memiliki sijil hak milik tanah tersebut maka projek pembinaan sekolah cawangan telah dimulakan mulai tahun 2002.
Bermula dari bulan April hingga bulan Mei 2002, kerja-kerja mengorek, menimbus dan meratakan tanah telah dilakukan di sekolah cawangan ini dengan menggunakan perbelanjaan sebanyak RM389,664.55.00 Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada 21.9.2002 iaitu melakukan kerja-kerja ‘piling’ (pembinaan asas bangunan) dan pembinaan 2 blok bangunan dengan perbelanjaan sebanyak RM6.7 juta. Bangunan ini dijangka siap pada bulan Mac 2004. Sebanyak 3 blok bangunan bertingkat empat akan dibina. Menjelang bulan Jun 2003, hampir 40% daripada kerja-kerja pembinaan bangunan 2 blok ini telah siap dibina. Sejumlah perbelanjaan yang besar diperlukan iaitu dianggarkan RM 7 juta untuk seluruh projek ini. Jawatankuasa Cawangan Sekolah Chan Wa masih kekurangan sebanyak RM 4 juta untuk pembinaan sekolah ini. Oleh itu, pelbagai aktiviti mengutip derma telah dijalankan sepanjang tahun 2003 dengan kerjasama daripada parti MCA, pertubuhan, orang perseorangan, ibu bapa dan masyarakat. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pada 12.2.2003 mengadakan persembahan tarian singa sempena Tahun Baru Cina. Pada 14.4.2003 menayangkan filem tentang Dr. Sun Yet Sun dengan berjaya mengutip derma sebanyak RM10,000.00. Pada 8.6.2003 mengadakan ‘Chan Wa Walk’ dan “Penjualan Amal” di tapak Bukit Galena telah berjaya mengutip derma sebanyak RM130,000.00. Pada 16.6.2003 mengadakan Malam Amal 10 Penyanyi Pilihan di Dewan Majlis Perbandaran Seremban dengan berjaya mengutip derma sebanyak RM600,000.00.
Aktiviti mengutip derma untuk sekolah cawangan diteruskan lagi sepanjang tahun 2004 oleh pihak individu, persatuan NGO dan parti MCA. Pada 10.10.2004, Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Cawangan bekerjasama dengan syarikat akhbar Guang Ming telah mengadakan pertandingan nyanyian lagu Cina klasik Zon Selatan untuk mengutip tabung sekolah cawangan di Restoran Ming Court. Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia YB Datuk Wira Dr. Fong Chan Onn. Beliau telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM100,000. Pada bulan Ogos 2004 bangunan sekolah cawangan siap dibina dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6 juta. Kelengkapan asas seperti kerusi, meja, lampu dan sebagainya di sekolah cawangan mula dibekalkan secara berperingkat-peringkat pada bulan November dan Disember 2004. Pada 19.12.2004 telah diadakan hari terbuka kepada orang ramai untuk meninjau keadaan di sekolah ini. Walaupun semua blok sekolah cawangan telah siap dibina, namun masih terdapat bilik-bilik belum dilengkapi dengan kemudahan asas. Hanya bilik-bilik yang penting seperti pejabat, bilik guru, bilik makmal, bilik kemahiran hidup dan perpustakaan dilengkapi keperluan asas. Walau bagaimanapun, selepas 13 tahun menghadapi pelbagai rintangan, cabaran dan usaha, pada 3.1.2005 semua kelas sesi petang dari sekolah induk dipindahkan ke sekolah cawangan untuk sesi persekolahan tahun 2005 iaitu tingkatan 1 sebanyak 14 kelas, tingkatan 2 sebanyak 12 kelas dan 1 kelas peralihan.
Sepanjang tahun 2006, kerja-kerja melengkapkan kemudahan sekolah cawangan giat dijalankan. Pada 20 Oktober 2006 pihak PIBG telah mendapat sumbangan daripada YB Dato Goh Siow Huat Ahli Parlimen Rasah memberi sumbangan sebanyak RM15,400 untuk membina ‘covered walkway’ dari blok C ke kantin sekolah dan juga membina bumbung di tepi tandas. Pada Oktober 2006 juga, gelanggang bola keranjang dan bola tampar juga turut siap dibina. Untuk mengatasi masalah lalulintas dan tempat menunggu bas pada bulan Oktober – Disember 2006, j pihak LPS dan PIBG telah membina fasa satu ‘covered walkway’ dari blok A ke pondok jaga. Untuk j melarang kereta ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, pihak LPS dan PIBG juga telah meluaskan kawasan tempat meletak kereta selepas mendapat persetujuan daripada pihak pemaju perumahan Bukit Gelana. Untuk memudahkan ibu bapa menurunkan anak mereka di depan pintu pagar sekolah, atas usaha ahli LPS Encik Yee Kai Ming dan sumbangan derma orang ramai, fasa dua ‘covered walkway’ yang sepanjang 153 meter di kawasan tempat letak kereta telah dibina dengan perbelanjaan RM16,000. Dengan itu, mulai Januari 2007, semua kereta ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah dan sistem lalulintas baru diperkenalkan.
Pada bulan Mei 2006 juga, jawatan penyelia petang telah ditarik balik oleh Kementerian ! Pelajaran kerana sekolah kita hanya satu sesi persekolahan. Oleh itu, pihak sekolah telah melantik Cik Choong Pong Kiew sebagai Penyelia Cawangan. Pengagihan kelas Tingkatan 2 dan 3 antara sekolah induk dan sekolah cawangan telah dilakukan iaitu 7 kelas Tingkatan 2 di sekolah Induk dan j sekolah Cawangan sementara 7 kelas Tingkatan 3 di sekolah Induk dan sekolah Cawangan. Tahun 2007, 7 kelas tingkatan 4 di sekolah Induk dan 5 kelas di sekolah Cawangan. Pada tahun 2008, I sekolah induk dan sekolah cawangan akan mempunyai Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Pihak sekolah berharap sekolah cawangan dapat dinaik taraf sebagai Sekolah Chan Wa Dua kerana banyak masalah telah timbul terutama dari segi pengurusan pentadbiran.
Sehubungan itu, pada tahun 2006 dan awal tahun 2007, pihak LPS dan PIBG telah mengemukakan memorandum menukar taraf sekolah cawangan kepada Sekolah Chan Wa Dua kepada YB Dato Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran kerana jarak lokasi antara sekolah induk dan sekolah cawangan sejauh 7km menyukarkan pengurusan pentadbiran.
Walaupun sekolah cawangan telah menjadi kenyataan, namun masih terdapat pelbagai masalah yang perlu dihadapi seperti kelengkapan peralatan bilik, pengurusan pentadbiran dan kemudahan asas yang lain. Pihak sekolah masih memerlukan sejumlah perbelanjaan yang besar untuk tujuan ini. Oleh itu, tabung mengutip derma untuk sekolah cawangan masih diteruskan dan memerlukan sokongan orang ramai.
Jelaslah terbukti perkembangan dan pencapaian Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chan Wa adalah hasil sumbangan daripada masyarakat, kerajaan, lebih-lebih lagi ibu bapa pelajar, ahli Lembaga Pengelola, PIBG, guru-guru, bekas pelajar-pelajar Chan Wa, pelajar-pelajar dan sokongan orang ramai yang ingin melihat Sekolah Menengah Chan Wa kekal selama-lamanya.
Sepanjang tahun 2007, SMJK Chan Wa telah meneruskan usahanya untuk membangunkan sekolah dalam semua aspek. Ini lebih ketara untuk sekolah cawangan memandangkan sekolah baru ini perlu disediakan pelbagai kemudahan.
Sepanjang tahun 2007, kerja-kerja telah dijalankan untuk menaik taraf gelanggang bola keranjang di sekolah cawangan. Gelanggang tersebut telah ditarkan. Selain itu, kawasan di antara kantin sekolah ke tapak gelanggang bola keranjang juga turut ditarkan. Ini untuk mewujudkan jalan yang lebih licin serta kemas di kawasan sekolah cawangan.
Pada tahun 2007, sebuah sudut membaca juga telah dibina di ruang hadapan pintu masuk ke sekolah. Ruang ini untuk menggalakan minat membaca di kalangan pelajar serta tempat menunggu untuk pelajar yang datang awal.
Makmal sains di sekolah cawangan juga telah terlibat dalam rancangan pembangunan sekolah. Makmal kimia telah disediakan dengan pelbagai kemudahan seperti peralatan makmal, almari wasap dan peralatan sains untuk mewujudkan prose pengajaran dan pembelajaran yang lebih efisien.
Selain itu, padang sekolah cawangan dan induk, juga telah dinaikkan taraf dengan menyediakan tapak untuk sukan lempar cakera, lontar peluru dan lompat jauh. Ini bertujuan supaya pelajar dapat berlatih dan menjalani aktiviti sukan di tapak-tapak yang bersesuaian dengan jenis sukannya.
Seterusnya pada April 2007, cadangan telah dikemukakan oleh PIBG untuk mengasingkan SMJK Chan Wa cawangan sebagai sekolah berasingan kerana sekolah induk menghadapi banyak masalah pengurusan serta kekurangan tenaga untuk mengurus dua buah sekolah.
Pada tahun ini iaitu 4.7.2007, buat pertama kali SMJK Chan Wa telah memulakan jadual bersepadu atas arahan Kememterian Pendidikan untuk memasukkan waktu koko dalam jadual waktu.
Pada 16.11.2007 telah juga berlaku perasmian perpustakaan sekolah cawangan dengan dinamakan “Daisaka Ikeda Library”. Persatuan ini telah menderma 200 buah buku kepada perpustakaan tersebut.
Sepanjang 2008, sekolah telah mengadakan kutipan derma pada 9.6.2008 dan 10.6.2008 untuk mangsa gempa bumi di Sichuan di China. Ini menunjukan warga sekolah begitu prihatin terhadap masalah antarabangsa.
Seterusnya pada tahun itu juga (17.7.2008), sekolah telah mengadakan satu majlis menyambut ulangtahun ke-90 dan terdapat pelbagai persembahan dan upacara untuk meraikan sejarah sekolah selama 90 tahun.
Di dalam bidang pembangunan pula, bilik komputer di sekolah cawangan telah dinaikkan taraf dengan menambah sebanyak 25 komputer untuk kegunaan sekolah yang telah diadakan pada bulan Mac 2008. Ini bertujuan untuk membolehkan sekolah cawangan terus maju dalam bidang ICT.
Sekolah juga telah berusaha untuk memasangkan ‘grill’ untuk pejabat serta bilik komputer yang telah dimulakan pemasangannya sejak bulan Mei 2008.
Di sekolah induk, pada tahun tersebut juga telah membawa satu titik sejarah apabila Encik Hin Voo Kien iaitu suami kepada bekas pengetua, mendiang Puan Wong Sai Noi, telah menderma RM50000.00 untuk pembangunan sekolah. Sumbangan beliau ini adalah untuk mengenangkan jasa isterinya sebagai pengetua SMJK Chan Wa dan ini telah membawa kepada satu peristiwa penting dalam sejarah sekolah. Sebagai menghargai jasa baik beliau, sekolah telah mengambil inisiatif untuk menamakan dewan sekolah sebagai “Dewan Wong Sai Noi”.
Berkat usaha dan kegigihan para pelajar dan guru-guru, sekolah kita telah mencatat sejarah pada tahun 2009 dengan dua pembabitan di peringkat kebangsaan iaitu pasukan koir sekolah kita telah dipilih mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan koir antarabangsa di Pasir Gudang, Johor Baharu pada 1 Julai hingga 3 Julai 2009. Selain itu, pasukan kadet polis sekolah juga telah dipilih mewakili Negeri Sembilan dalam pertandingan kawad kaki di peringkat kebangsaan di Kuantan, pahang pada 18 Jun 2009 hingga 21 Jun 2009 dan Ketua Platun Lee Kean Yoong telah memenangi naib johan dalam kategori Ketua Platun terbaik peringkat kebangsaan. Ini menunjukkan sekolah telah boleh memasuki arena kebangsaan. Selain itu, pancaragam sekolah juga telah dipilih untuk membuat persembahan sempena Menteri-menteri Pelajaran Komanwel ke-17 (17 CCEM) di Kuala Lumpur pada 15 Jun hingga 19 Jun 2009. Pasukan pancaragam telah membuat persembahan yang begitu baik dan telah mendapat pujian dan penghargaan daripada menteri-menteri komanwel. Ini juga menunjukkan sekolah telah mencipta satu detik sejarah pada peringkat kebangsaan.
Selain itu, pada Mac 2009, sekolah cawangan telah membina tembok di sekeliling sekolah untuk mengelakkan pelajar-pelajar keluar dari kawasan sekolah. Seterusnya sekolah juga telah menyediakan sebanyak 200 meja dan kerusi untuk kegunaan cawangan dan membelanjakan RM34000.00 untuk ‘grill’ di sekeliling makmal dan bengkel sekolah. Pada tahun yang sama juga, pihak sekolah telah menukar sistem penyiaran sekolah supaya sebarang mesej dan siaran dapat disampaikan kepada pelajar dengan jelas dan baik.
Walau bagaimanapun, satu peristiwa hitam telah berlaku dalam sejarah sekolah iaitu pada pertengahan Disember 2006-2009, berlaku krisis antara LPS dengan Persatuan Murud Tua dalam LPS. Masalah ini berlarutan dengan terbentuknya dua LPS pada Jan 2008. Pertikaian ini telah menjejaskan imej SMJK Chan Wa. Imej sekolah terjejas sekali lagi apabila Encik Chiu Fook Seng, melalui mahkanah tinggi memohon menamatkan jawatan pengetua sebagai setiausaha LPS dan meminta menyerahkan semua laporan mesyuarat kepadanya. Mereka juga turut mendakwa JPNS dan kerajaan Malaysia, dan isu ini telah dibawa ke mahkamah tinggi pada 6.4.2009.
Namun, boleh dirumuskan bahawa sekolah telah berjaya berdiri teguh menghadapi semua cabaran ini dan SMJK Chan Wa telah terus berkembang maju.
Sepanjang pertengahan tahun 2009, SMJK Chan Wa telah meneruskan usahanya untuk menjadi sekolah cemerlang. Pembangunan sekolah telah meningkat dari segi pengajaran dan pembelajaran ko-kurikulum, akademik serta kemudahan sekolah.
Pada 31 Oktober 2009, banjir kilat telah melanda sekolah yang mengakibatkan sekolah dibanjiri lumpur tanah, semua bilik tingkat bawah terkena banjir. Antaranya bilik pejabat, bilik makmal sains, bilik KH, bilik komputer, kantin, bilik badan beruniform, bilik QM, bilik bola keranjang, bilik PJK dan semua kelas tingkat bawah blok C. Banyak peralatan pejabat, fail, komputer dan buku rosak akibat banjir. Anggaran kerugian yang agak besar telah ditanggung oleh pihak sekolah. Walau bagaimanapun SMJK Chan Wa telah terus berusaha untuk meneruskan usahanya untuk menjadi sekolah gemilang. Tidak hairanlah mulai tahun 2010, SMJK Chan Wa telah mendapat kedudukan ke 347 daripada 2198 buah sekolah di Seluruh Malaysia mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Ini merupakan satu lagi kejayaan yang boleh dibanggakan.
Pada 13 Oktober 2010, Pengetua sekolah En. Lim Chee Fook telah bersara dan majlis persaraan Pengetua telah diadakan pada waktu pagi dan majlis makan malam pada hari yang sama di sekolah cawangan. Semua majlis tersebut diadakan bertujuan untuk menghargai jasa baik Encik Lim Chee Fook yang telah berkhidmat selama 25 tahun di Sekolah Chan Wa. Encik Tai Choon Kong, Penolong Kanan 1 telah dilantik sebagai Pemangku Pengetua mulai 14 Oktober 2010 hingga 17 November 2010.
Satu lagi aspek sejarah yang penting berlaku ialah Encik Hooi Wing Cheong sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah telah bersara setelah memegang jawatan tersebut selama 15 tahun iaitu dari 1996 hingga Febuari 2011. Beliau telah diganti oleh Encik Yap Kok Kiam, Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah.
Pada 18 November 2010, SMJK Chan Wa telah menerima Pengetua baru iaitu Encik Lee Veng Fook yang merupakan seorang Pengetua cemerlang. Sebaik sahaja mula bertugas di SMJK Chan Wa beliau berusaha meningkatkan langkah pembangunan fizikal sekolah dan menaikkan prestasi akademik, ko-kurikulum dan disiplin sekolah.
Pada awal tahun 2011 semua longkang sekolah induk telah diperbesarkan serta ditutup dengan besi untuk tujuan keselamatan dengan anggaran perbelanjaan RM35,000. Selain itu, bumbung dewan yang rosak telah diganti dengan baru serta diperbaiki. Pada awal bulan April bangunan sekolah induk yang tidak pernah dicat selama 30 tahun telah dicat semula dengan anggaran belanja sebanyak RM75,000.
Beliau juga telah mengambil usaha untuk menambah perabot sekolah khasnya kerusi dan meja untuk kelas dan kantin. Seterusnya, Makmal Kimia di sekolah induk juga telah dilengkapi dengan kebuk wasap untuk mengeluarkan asap atau gas yang beracun. Di sekolah cawangan pula pembinaan tembok batu telah dibuat untuk menggantikan pagar besi dan pondok membaca telah dibina pada tahun 2010 dengan sumbangan Lion Club. Seterusnya pada bulan Disember 2010 tangki di sekolah cawangan telah dibaiki dan lantai pejabat sekolah cawangan telah dipasang jubin Tandas di kedua-dua sekolah juga telah dinaikkan taraf. Semua pembangunan fizikal in dilakukan untuk tujuan menaikkan taraf SMJK Chan Wa.
Maka SMJK Chan Wa telah menjadi semakin mantap dan terus menjadi sebuah sekolah yang begitu dibanggakan serta menjadi sekolah gemilang di bawah pimpinan Pengetua Cemerlang Encik Lee Veng Fook.
Sepanjang tahun 2011 hingga kini SMJK Chan Wa telah meneruskan pembangunan di bawah pimpinan Pengetua Cemerlang Encik Lee Veng Fook. Beliau telah memastikan kemudahan sekolah, keceriaan sekolah, pencapaian akademik, pencapaian ko-kurikulum dan disiplin pelajar mencapai tahap cemerlang. Pihak sekolah telah memulakan penyelenggaraan sekolah dengan menukar bumbung bagi dewan sekolah pada 8 Ogos 2012 dengan menelan belanja sebanyak RM9800.00 dan menukar pintu dewan sekolah juga pada masa yang sama dengan menelan belanja sebanyak RM1650.00. Selain itu pihak sekolah telah memperbaiki kemudahan tandas seperti menukar kepala paip dan peralatan dalam tandas murid di sekolah cawangan pada awal 1 October 2012 yang menelan belanja sebanyak RM2650.00. Pihak sekolah juga telah mengantikan lampu, soket, kipas angin, peralatan pejabat, peralatan makmal dan peralatan elektrik di dewan dan perpustakaan. Satu lagi projek pihak sekolah yang memang bertujuan untuk membantu menaikkan taraf sekolah ialah mengantikan mesin pump pembentung tandas di induk dan cvawangan yang menelan belanja hampir RM10000.00 yang dibuat pada 4 October 2012. Sekolah juga telah diselenggarakan dengan membaiki bangunan sekolah, lanta idan pintu kelas yang telah menelan belanja hampir RM43,000.00 yang dilakukan pada 14 November 2012.
Pihak sekolah juga telah menceriakan sekolah dengan mengecat bangunan sekolah dan mengecat bahagian dalam bilik darjah di sekolah induk dan cawangan yang dibuat pada 30 November 2012, yang menelan belanja hampir RM75,000.00.
Selain itu sekolah juga telah melepas semula lantai-lantai rosak dan memasang jubin di bilik guru sekolah induk dan cawangan yang telah menelan belanja sebanyak RM21810.00 yang telah dilaksanakan pada 18 Disember 2012. Projek menukar bumbung bangunan Blok B sekolah induk juga telah dilaksanakan pada 15 Januari 2013 yang telah menelan belanja sebanyak RM62000.00.
Bagi mewujudkan lagi keselesaan pelajar pertambahan kerusi, meja telah dibuat dengan menelan belanja sebanyak RM4,950.00 dan pertambahan peruntukan sebanyak RM2100.00 bagi peralatan kerusi di kantin sekolah yang dijalankan pada 7 Januari 2013. Di sekolah cawangan juga pihak sekolah telah membelanja sebanyak RM7,550.00 pada 13 May 2013 untuk tujuan membaik pulih pagar besi kepada pagar batu, membaiki papan kenyataan, tingkap dibilik kaunseling, dewan dan perpustakaan sekolah.
Selain itu satu lagi peristiwa sejarah yang amat penting ialah pada 18 April 2013 SMJK Chan Wa telah mendapat surat kelulusan daripada YB Datuk Ir, Dr. Wee Ka Siong untuk pentadbiran secara berasingan dan sekolah cawangan akan ditukar nama kepada SMJK Chan Wa 2. Ini merupakan satu usaha yang telah dihasilkan daripada mengadakan rundingan pihak sekolah dengan Kementerian Pelajaran dan akhirnya pada 18 April 2013 telah dilaksanakan majlis penyerahan Surat Kelulusan Pentadbiran Berasingan SMJK Chan Wa 2. Ini adalah satu usaha yang harus dihargai oleh Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan Bekas Pelajar Chan Wa yang telah bermula sejak 1991. Pada Tahun 1995 Sekolah Cawangan telah mendapat kelulusan pembinaan dan hanya pada tahun 2000 pihak sekolah telah mendapat tapak baru untuk membina sekolah cawangan di Bukit Galena Labu dan pada tahun 2001 Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan sekolah cawangan pada bulan Ogos Tahun 2004 dan pada 3 Januari 2005 sesi persekolahan di cawangan telah bermula.
Selain itu SMJK Chan Wa telah terus mencapai kecemerlangan dalam akademik serta mencapai peratus yang tinggi pada peperiksaan SPM dan PMR sehingga telah mendapat anugerah pencapaian akademik daripada Pejabat Pelajaran Daerah pada tahun 2012 ini merupakan kejayaan SPM yang paling cemerlang dengan 49 orang pelajar mendapat semua A dalam semua mata pelajaran dan PMR seramai 75 orang pelajar mendapat semua A dalam 8 matapelajaran. Di samping itu sekolah telah terus mencapai kecemerlangan dalam bidang ko-kurikulum serta sahsiah pelajar dan akan terus mencapai kegemilangan pada tahun-tahun yang akan datang dengan kerjasama Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan Pengetua sekolah.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete